"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kuasa Kepimpinan Al-Fateh (IQ-EQ-SQ)

Saturday, May 1, 2010

Kitaran Pembodohan















"Dasar pendidikan kita adalah kepatuhan.
Bukan pertukaran pikiran. Ilmu sekolah adalah ilmu hafalan,
dan bukan ilmu latihan menguraikan
"
– W.S Rendra (1935- 2009)


Beban kata ‘maha’ kerap kali terlalu besar untuk dipikul para siswa. ‘Maha’ membawa makna agung, unggul dan terbaik sedangkan siswa tidak sering begitu. Siswa kini tidak lebih daripada bakal buruh-buruh dengan kepandaian menaip, menyusun fail dan mencatat minit mesyuarat. Jangan paksakan mereka dengan kerumitan lain kerana pasti itu tidak akan tertampung oleh mereka. Penyakit ini kini menjadi wabak nasional, tidak kira siswa dari universiti mana pun–baik universiti APEX, universiti penyelidik sampailah universiti sintok – semuanya tidak immune dengan wabak ini. Lebih haru lagi, penyakit ini bukan hanya hinggap pada siswa – siswa ‘biasa’ sahaja, malah menjangkiti sama ‘pimpinan tertinggi (maha)siswa’ juga.

Siswa kini tidak lagi mampu untuk menerajui isu. Mereka hanya menjadi tukang-tukang sorak kepada apa-apa sahaja agenda pemerintah. Tidak kurang juga yang menjadi ‘ lebih jilat dari lidah kontot’ apabila dengan terkocoh-kocoh mengiakan segala kata pemerintah walaupun belum tuntas butir tujuannya. Kerling sedikit penubuhan Sahabat Satu Malaysia di universiti yang jelas hanya mahu bertenggek di celah-celah politikus opportunis yang bersepah serata universiti. Mereka sibuk melekatkan slogan 1Malaysia dalam setiap program anjuran mereka tapi tidak pula berminat untuk membuka wacana tentangnya. Jangan soal.

Pegawai-pegawai universiti ini pula sama bebal dengan meluluskan kebanyakan program yang hujungnya ada slogan ‘ rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ tanpa banyak kira. Lagi pula apa mereka peduli, “1Malaysia itukan agenda nasional…” Pegawai-pegawai universiti ini juga–khususnya di bahagian Hal Ehwal Pelajar (dikenali sebagai Jabatan Pembangunan Mahasiswa di KUIS )– bukan sahaja patuh dan taat setia kepada status-quo universiti, malah sebahagian daripada mereka akan seboleh mungkin meredam aktiviti siswa- bukan Aspirasi/UMNO.

Apakah keuntungannya buat mereka jika Aspirasi kekal menang di kampus? Gaji mereka bukan ditentukan oleh situasi politik kampus. Tambah pelik lagi, jika sungguh pun ada arahan untuk mengekang aktiviti pelajar yang dilihat ‘subersif’ apa perlunya mereka bertungkus-lumus pula memenangkan Aspirasi? Mana datangnya ketaksuban para aparat universiti ini dengan politik kampus? Kesetiaan sebahagian daripada kakitangan/pegawai universiti terhadap status-quo politik kampus ini amat penting untuk difahami kerana mereka ini menurut Gramsci bukan hanya dihegemoni oleh kekuasaan pemerintah, malah berperanan mengukuhkannya pula. Mudahnya kita namakan keadaan ini sebagai kitaran pembodohan. Sekarang mari kita fahami operasi kitaran ini.

Sebagaimana yang difahami umum, setiap aktiviti kelab dan persatuan (termasuk organisasi urusetia) adalah di bawah kawalan unit Hal Ehwal Pelajar/ Jabatan Pembangunan Mahasiswa(HEP/JPM). Oleh itu, bukanlah suatu yang pelik jika persatuan/ kelab ini lebih ‘mesra Aspirasi’.  Mereka ini akan diasuh oleh HEP/JPM untuk menguruskan organisasi mereka seperti tatacara mesyuarat tahunan, menulis surat mohon kelulusan program, peruntukan dan protokol majlis untuk jemputan VVIP. Mereka tidak pula didorong untuk benar-benar memahami isu dan tema program yang mereka anjurkan. Hal ini  kerana para pegawai HEP/JPM ini bukanlah terdidik dalam displin ilmu khusus bagi setiap persatuan/ kelab. Mungkin sebahagiannya hanya lulusan diploma pengurusan pejabat UiTM dan mereka inilah yang akan menentukan boleh atau tidak program pelajar dijalankan.

Maka, apabila persatuan Bahasa Melayu ingin mengadakan forum Kebudayaan Kebangsaan, hal yang akan diberi perhatian adalah soal format surat menyurat, protokol majlis, senarai jemputan, dan bunga manggar. Mutu forum lansung tidak diendahkan. Maka,  hasilnya forum tersebut akan megah dan mewah dengan segala macam hiasan, namun isinya hampa.

Dalam masa yang sama, para pelajar ini akan terkongkong dalam universiti kerana sebahagian daripada masa dan daya mereka ditumpukan pada soal pengurusan birokrasi ini. Mereka akhirnya menjadi amat mahir menghafal setiap unit dan jabatan pentadbiran universiti. Perkara ini bukan sahaja menjadi kebanggaan mereka, malah diwajibkan pula ahli-ahli baru persatuan/kelab untuk turut menghafal nama pegawai setiap unit/jabatan.Hujahnya mudah untuk mendapat kerja kelak kerana ada soft skill. Ironinya, sebahagian daripada mereka ini merupakan pelajar lanjut (extend) akibat terlalu leka dengan ‘pengurusan’ persatuan sehingga menangguhkan pengajian.

Akibat terlalu lama (4 hingga 5 tahun) ‘menguruskan’ persatuan, mereka ini terhisap terus dengan struktur sedia ada. Baik daripada cara fikir sehingga membawa kepada cara pakai. Mereka ini mudah dikesan melalui penampilan–berseluar slack hitam dengan baju kemeja (kadang kala berbaju batik), dan sering terlihat mundar mandir di pejabat kedekanan atau HEP/JPM sambil membimbit fail lengkap dengan lambang universiti. Pelajar ini tanpa sedar menjadi tua sebelum usianya.

Oleh kerana itu, apabila para pelajar ini menamatkan pengajian, dengan mudahnya mereka diterima sebagai kakitangan universiti (pastinya sebagai kakitangan pengurusan, bukannya akedemik). Pertamanya kerana hubungan baik mereka dengan pegawai sedia ada dan keduanya kerana kemahiran ‘pengurusan’ yang mereka miliki. Justeru dengan jawatan sedikit tinggi daripada peon, pelajar ini menjadi ‘budak pejabat’ yang disegani. Tambah bebal lagi, mereka ini kemudianya diangkat sebagai penasihat kepada persatuan/kelab di HEP. Maka kitaran kebodohan ini pun lengkap satu pusingan. Tidak hairan juga, mereka ini amat fanatik dengan Aspirasi kerana ketika menjadi pelajar mereka amat aktif dalam persatuan-persatuan tajaan universiti.

Bagi memastikan kitaran pembodohan ini tidak terurai; diperkenalkan pula konsep seniority. Harus diingat, para senior yang telah menjadi kakitangan universiti ini tidak mempunyai autoriti karismatik (kebanyakannya pelajar extend) maka bagi membolehkan kata-kata diterima oleh generasi baru persatuan, konsep seniority ini merupakan pilihan terbaik. Melalui konsep ini, persatuan harus sentiasa merujuk senior untuk membuat sebarang keputusan dan keputusan tertinggi dibuat oleh lembaga khas yang dianggotai oleh kakitangan universiti (merangkap alumnai persatuan).

Hasilnya, persatuan kekal statis dengan program sedia ada dan gagal menjadi medium untuk pelajar berdikari. Senior diimani dengan kepercayaan lebih tahu daripada junior. Bayangnya betapa bebalnya pelajar-pelajar ini, sedangkan umumnya mereka ini dikategorikan sebagai pimpinan persatuan pelajar. usah diperkirakan lagi pelajar yang memang culas mengambil pusing soal berpersatuan. Tidakkah hal ini benar-benar merupakan krisis pendidikan tinggi di negara ini? Sebagaimana inti pemikiran Gramsci tentang hegemoni; Selepas pemikiran dikuasai, maka, tangan, kaki dan badan akan menuruti. Maka sesudah itu idea akan terhenti dan masyarakat membeku mati.

Maka di sinilah benarnya kata – kata W.S Rendra dasar pendidikan kita adalah kepatuhan, bukan pertukaran fikiran; sehingga kata maha terlalu beban buat siswa.


Ahmad Shukri Kamarudin
Bandar Seri Putra, Bangi
read more...

Friday, April 9, 2010

PMIUM : Edisi Terkini

                         
















Pada 9 April 2010 (Jumaat), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya di Dewan Kuliah Utama (DKU) Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya bermula jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang.

Seperti biasa, mata akan tertumpu pada pemilihan kepimpinan baru PMIUM khususnya jawatan Presiden/Yang DiPertua. Jawatan penting itu menentukan corak dan sejauh mana PMIUM akan berperanan selaku penggerak Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) samada di kampus ataupun di peringat inter-kampus.

Jutaan tahniah saya ucapkan kepada Saudara Ahmad Syazwan bin Mohd Hassan, mahasiswa tahun 2  jurusan Ekonomi & Pentadbiran kerana telah ditaklifkan dengan suatu amanah yang amat berat selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) sesi 2010/2011 menggantikan Saudara Shazni Munir bin Ithnin. Semoga beliau terus istiqomah dalam memacu perjuangan mahasiswa Islam dalam mendepani massa yang lebih mencabar.
























PMIUM telah melahirkan ramai-nama besar yang pernah diberi tanggung-jawab menerajui persatuan ini. Antara Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Menteri Belia & Sukan), YB Muhammad Hussain (MP Pasir Puteh), Prof. Dr. Redzuan Othman (Mantan Dekan FSSS UM), Datuk Prof. Dr. Zulkifli Mohd Yusoff (Professor Kanan APIUM), YB Nasir Zakaria (MP Padang Terap), Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, Sdr Ramadhan Fitri Elias, Sdr Nazree Yunus (Mantan Pengerusi GERAK), Sdr Dzulkhairi Mohd Noor (Ketua Pemuda PUM) dan ramai lagi.

Selain mantan Presiden, mantan-mantan pimpinan lain serta ahli-ahli PMIUM juga turut sama melakar nama di persada masing-masing. Dalam tempoh melebihi enam dekad penubuhannya, PMIUM telah banyak berjasa kepada masyarakat samada secara langsung atau tidak langsung.

Namun begitu, PMIUM tidak boleh terus memandang ke belakang dan berbangga dengan kejayaan semalam. Derap langkah hari ini perlu terus dipacu gagah demi lakaran sejarah hari esok yang lebih kemas dan gemilang.

Pada zaman yang semakin mencabar kini, PMIUM memerlukan barisan kepimpinan yang lebih berkualiti dan berpandangan jauh. Kepimpinan yang futuristik namun bergerak dengan berpijak di bumi yang nyata. Sebarang tindakan yang diambil mestilah dibuat berdasarkan pertimbangan yang matang dan bertanggungjawab. Semua ini bakal mencorakkan zaman kemahasiswaan masing-masing.


                                                                 Ahmad Shukri Kamarudin
                                                                             Lumut,Perak
                                                                     



 
read more...

Monday, March 22, 2010

SMM " bergelimpangan " teruskan kongres

Malaysiakini - Selepas halangan demi halangan, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) tetap tegar meneruskan kongres gerakan mahasiswa anjuran mereka dengan penuh daif, sehingga pesertanya terpaksa duduk bergelimpangan di lantai.

Walaupun program tersebut berlangsung di tempat yang penuh selesa di sebuah dewan milik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kumpulan tersebut mendakwa kerana “mahalnya” dewan itu, mereka tidak lagi mampu menyewa kerusi.

“Kami tidak mampu bayar. Dewan ini bukannya murah. Cuba tengok di sebelah sana,” kata pengerusinya Hilman Idham sambil menunjuk ke arah tabung derma yang diletakkan di sebelah pintu masuk dewan tempat program itu berlangsung.

Semalam, sebuah universiti universiti di Lembah Klang Universiti Malaya (UM) dilaporkan melarang pelajarnya menghadiri program anjuran SMM - yang sering dilabelkan propembangkang.

Dalam notis yang ditampal di sekitar universiti itu semalam, kongres tersebut didakwa bakal membincangkan isu-isu politik yang didakwa bertentangan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Ditemui Malaysiakini di program tersebut, Hilman menceritakan, SMM terpaksa bertukar tempat di saat akhir (semalam) kerana “disabotaj” pihak-pihak tertentu.

Katanya program tersebut tersebutnya yang sepatunya berlangsung di sebuah dewan di Taman Setiawangsa ditukar tempatnya setelah “dihalang” dengan pelbagai alasan.

Hilman berkata, ketika pihaknya mahu mengadakan raptai program semalam, seorang pegawai yang ditugaskan menjaga dewan berkenaan memberitahu mereka, program tersebut tidak sesuai dijalankan di dewan milik Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu.

Menurut pemimpin pro-Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, kakitangan tersebut antaranya memberitu mereka, program tersebut “tidak sesuai” dijalankan di situ kerana melibatkan anak ketua pembangkan Nurul Izzah Anwar.

Bagaimanapun kedatangan Nurul Izzah yang juga ahli parlimen Pantai bagi merasmikan program tersebut pagi ini ternyata mengubat hati kira-kira kira 300 penuntut daripada pelbagai universiti di seluruh negara itu.

Dalam ucapannya, beliau antaranya mengimbau kembali detik-detik ketika bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim bergelut dalam gerakan reformasi sepuluh tahun lalu.

ADUN Bukit Tunku Lau Weng San juga turut hadir menyaksikan program tersebut. Beliau turut kelihatan duduk bersila di lantai.

Pada hari ini, di tempat yang sama, sekretariat belia Selangor turut mengadakan persidangan anak muda di tempat yang sama, tetapi dewan yang berbeza, sekali gus memeriahkan lagi suasana sekitar kawasan itu.
read more...

Wednesday, March 17, 2010

Perubahan Tempat Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional 2010














  MAKLUMAT PENTING

PERUBAHAN TEMPAT KONGRES GERAKAN MAHASISWA NASIONAL 2010.

TEMPAT : DEWAN CENTRUM SETIAWANGSA, JALAN SETIAWANGSA 13, TAMAN SETIAWANGSA, 54200 KUALA LUMPUR.( berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Setiawangsa & Medan Selera Taman Setiawangsa )

PERASMI KONGRES : YB NURUL IZZAH ANWAR.

MASA & TARIKH UNTUK KONGRES TETAP SEPERTI BIASA



pelan ke lokasi terbaru Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional 2010 



















View Larger Map



read more...

Monday, March 15, 2010

Pecat Sahaja Mohamed Khaled Nordin, Lepas Itu VC UniMAP Pula.



















Akhbar Kosmo! hari ini dalam ruangan mukasurat 4 menyiarkan berita bagaimana sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menawarkan 16 program yang tidak diiktiraf oleh mana-mana agensi kerajaan di negara ini.Hanya ada dua program yang menerima pengiktirafan.Gila ke apa universiti kerajaan yang sudah 9 tahun wujud tawarkan sebanyak itu program yang tidak diiktiraf?

Kalau kolej swasta yang tumbuh belakang stesen minyak buat macam itu, kita tidaklah terperanjat sangat.Ini apa jadah IPTA yang dinaungi kerajaan boleh jadi macam itu?Bukankah salah satu bidang keberhasilan utama negara (NKRA) ialah menyediakan akses pendidikan yang bermutu kepada rakyat?Kalau IPTA kerajaan sendiri berada dalam keadaan ini, macam mana NKRA ini hendak dipenuhi?

Persoalan terpenting, apakah Kementerian Pengajian Tinggi tidak tahu mengenai situasi itu selama ini?Apakah yang dibuat oleh Pengurusan UniMAP?Bukankah mereka bermain dengan masa depan anak-anak Melayu di negara ini.Para pelajar dan lepasan UniMAP itu semuanya pasti akan mengalami kesukaran mendapat kerja terutama di sektor awam.Permohonan untuk mendapatkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) pun tidak boleh dilakukan tanpa pengiktirafan itu.

Rakan penulis yang belajar di IPTA berkenaan berkata, pengurusan UniMAP berpanjangan menipu para pelajarnya selama ini dengan memberikan pelbagai alasan untuk menutup kelemahan mereka mendapatkan pengiktirafan.Bagaimana 16 program boleh tidak diiktiraf? Bagaimana?UniMAP wujud sejak 2001, bukan 2010.Satu tempoh yang sudah cukup lama untuk memastikan semua program yang ditawarkan mendapat pengiktirafan.Sudah ribuan pelajar mereka yang bergraduat tetapi tiada pengiktirafan. Tidak masuk akal langsung.

Apa semua ini? Mereka ambil subjek profesional iaitu kejuruteraan, bukan mudah...sudah tentu bertahun-tahun pelajarnya berhempas-pulas untuk lulus...tetapi untuk apa? Untuk membawa balik ke kampung masing-masing segulung ijazah yang tidak ada nilai?Persoalannya sekarang, siapakah yang perlu memikul tanggungjawab kesilapan ini?Pada hemat penulis, jawapannya ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin sendiri.

Selaku Menteri, beliau harus dipertanggungjawabkan. Dalam situasi sekarang, di mana salah sebuah IPTA di bawah beliau menawarkan sehingga 16 program tanpa pengiktirafan selama bertahun-tahun, secara prinsip, maka beliau harus meletak jawatan. Jika beliau enggan, maka Menteri lembab yang juga kawan baik Kahiry Jamaluddin dan dilantik pada zaman gelap Pak Lah ini perlu dibuang sahaja daripada Kabinet.Sama ada dipecat atau digugurkan sahaja dalam penyusunan kembali Kabinet tidak lama lagi.

Tidak ada gunanya menyimpan orang yang tidak tahu buat kerja terutama di kala Perdana Menteri sedang asyik menerapkan konsep rakyat didahulukan. Para pelajar UniMAP itulah rakyat yang dimaksudkan beliau. Selepas Khaled Nordin, maka giliran Naib Canselor UniMAP, Kol. Prof. Dato' Dr Kamarudin Hussin pula, sama ada berundur atau dipecat sahaja. Beliau pun harus memikul beban dosa IPTA yang dipimpinnya itu.
read more...

Tuesday, March 2, 2010

3 Mac 1924 - 3 Mac 2010 : 86 Tahun Sudah Berlalu




















" Misi kita telah Berjaya di Turki. Kerajaan Turki Uthamaniyah telah pergi dan tidak mungkin akan datang kembali, kerana punca kekuatan sebenar Islam kita sudah hapuskan iaitu Khilafah Islamiyah. “ – Lord Qiruzon , 12 Oktober 1923 –

Derapan sejarah telah berlalu namun masih segar di benak ingatan tarikh palitan sejarah hitam buat seluruh saentero dunia Islam apabila pada 3 Mac 1924, Kerajaan Turki Uthmaniyah pimpinan Sultan Abdul Majid II secara rasminya telah jatuh ke tangan pemerintah sekular pimpinan Mustafa Kamal Attarturk Laknatullah alaih.

Seluruh dunia Islam terjaga dari lenanya dengan kejutan yang amat besar, setelah dilamun mimpi ngeri dan menakutkan. Mereka seolah-olah tidak percaya dengan apa yang berlaku, apa yang didengar dan apa yang dilihat hingga timbul pelbagai persoalan : Adakah masih ada Kerajaan Islam Uthmaniyah? Adakah betul kerajaan yang kuat telah tumbang? Kerajaan apakah selepas ini yang mampu mempertahankan Islam dan umatnya? Tragedi ini merupakan sejarah hitam dan pahit bagi setiap insan yang bergelar muslim.

Dalam masa yang sama, dunia Kristian dan Yahudi juga tersedar daripada suatu mimpi yang amat indah, seolah-olah telah mendapat apa yang dicita-citakan sebelum ini iaitu kejatuhan Khilafah Islamiyah. Kegembiraan disambut segenap lapisan masyarakat Kristian di seluruh dunia. Seorang jeneral tentera bernama Al-Alambi dengan bongkak berkata setelah memasuki al-Quds : “ Sekarang telah tamatlah peperangan Salib “. Begitu juga dengan jeneral tentera Perancis yang bernama Goro. Beliau pergi ke makam Salahuddin al Ayyubi yang berada di Damascus dan berkata sambil memijak-mijak makam tersebut : “ Bangunlah wahai Salahuddin ! Sekarang kami telah kembali ! “

Sabda Rasulullah SAW :

Tidak akan terjadi hari kiamat sehinggalah sampai masa orang-orang Yahudi memerangi umat Islam lalu umat Islam memerangi mereka sehingga mereka lari bersembunyi di sebalik batu-batu dan pokok-pokok. Batu-batu dan pokok-pokok lamtas berkata : Wahai muslim, wahai hamba Allah, di belakangku ini ada orang Yahudi, maka datanglah dan bunuhlah dia.”

Ayuh anak muda mahasiswa Islam ! Bangit dan sedarlah tanggungjawab kita yang sebenar. Di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa. Usah lalai dan biarkan umat Islam terus menerus dihinjak dan dicaci. Kini kitalah mata rantai dan pendukung kepada  perjuangan Islam yang akan menggegarkan saentero dunia dengan kalimah agung ALLAH AKBAR !!!
read more...

Monday, February 8, 2010

Masih Ada Yang Berjiwa Mahasiswa

Belajar sambil mencabar
Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang
Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin
Berpengalaman (mencabar) DAN terpelajar.
- Prof. Ungku A. Aziz (1973)-

 "Gerakan mahasiswa adalah suatu kuasa yang mesti diberikan perhatian dan diambil
perhitungan (a force to be reckoned with)."
-Kalau Saya Mahasiswa (Saifudin Abdullah)

Begitulah antara bait kata-kata Dato' Saifudin Abdullah; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang diterjemahkan di dalam bukunya yang bertajuk "Kalau Saya Mahasiswa".

Kini nama Dato' Saifudin Abdullah mula menjadi buah mulut dikalangan para aktivis mahasiswa di seluruh negara kerana sikap prihatinnya terhadap kelansungan gerakan mahasiswa dalam lembaran dekad kini. Bermula dengan keprihatinan beliau terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diakui oleh beliau sendiri dengan mengatakan akta tersebut terlalu memenjara mahasiswa di kampus, seterusnya pendirian beliau terhadap ketelusan Unit Hal Ehwal Pelajar (HEP) di seluruh kampus yang dilihat tidak memainkan peranan mereka yang sebenarnya iaitu dengan tindakan mereka yang terlalu menyusahkan pelajar sehinggalah tercetusnya pindaan AUKU 2009 yang merupakan salah satu usaha beliau untuk membebaskan kembali mahasiswa daripada 'penjara' kampus yang sudah lama merencatkan gerakan mahasiswa di Malaysia.

Kemuncak kepada keprihatinan beliau terhadap para aktivis mahasiswa ialah pada 4 Februari 2010 yang lalu dimana beliau telah berkenan untuk bertemu dengan 9 orang mahasiswa yang ditahan polis kerana terbabit dalam demonstrasi menuntut demokrasi kampus pada 23 Januari yang lalu di Kuala Lumpur. Pertemuan yang diadakan di pejabatnya di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Putrajaya telah memberikan gambaran yang jelas kepada mahasiswa bahawa beliau amat kecewa dengan sistem yang ada sekarang yang dilihat terlalu menekan mahasiswa dan 'membudak sekolahkan' mahasiswa!

Sembilan orang mahasiswa yang dijemput untuk bertemu dengan beliau ialah Hilman Idham, Mohd Idris Yusof (UKM), Ahmad Shukri Kamarudin, Ahmad Syukri Abd Razab (KUIS), Aizat Salleh, Syahriul Ismail, Mohd Fikhri Harun (UM), Mohammad Zaim dan Mohd Ridhuan Jamil (UTM).
















Dalam pertemuan tersebut, beliau turut menegaskan bahawa pihak pentadbiran seharusnya perlu mengkaji faktor mahasiswa mengadakan demonstrasi di kampus masing-masing dan bukannya menghukum mahasiswa yang mengadakan demonstrasi tersebut. Tegas beliau lagi, mahasiswa yang sering mengadakan demonstrasi di dalam kampus mahupun di luar kampus ingin menjadikan demonstrasi tersebut sebagai wasilah untuk mereka meluahkan ketidak puas hatian mereka terhadap kebobrokan pentadbiran kampus. Beliau turut meluahkan rasa sedih beliau terhadap kelansungan pilihanraya kampus pada tahun ini yang dilihat paling teruk dalam sejarah gerakan mahasiswa Malaysia!

Dalam pertemuan tersebut juga, Saudara Hilman Idham ( Presiden KAMI UKM) dan Saudara Idris Yusof (Presiden GAMIS) telah menyerahkan dokumen-dokumen serta bukti-bukti yang menunjukkan berlakunya penyelewengan dalam plihanraya kampus di UKM. Selain itu, beliau turut memandang berat terhadap landskap pilihanraya kampus pada kali ini yang memperlihatkan terlalu banyak kerusi menang tanpa bertanding. Di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) contohnya, kesemua kerusi termasuklah calon kerusi umum dan fakulti telah menang tanpa bertanding dan itu telah menunjukkan suatu virus 'buta politik' telah melanda di bumi KUIS.

















Tegas beliau lagi, semua institut pengajian tinggi (IPT) diminta menjadikan jumlah kerusi yang dipertandingkan dalam pilihanraya kampus sebagai elemen Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing dan bukannya bilangan kerusi yang menang tanpa bertanding. Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa IPT juga hendaklah memastikan peratusan keluar mengundi adalah tinggi, isu yang digunakan dalam kempen adalah bernas, etika berkempen membabitkan calon,pengurusan dan penyokong serta memastikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang dilantik perlulah diiktiraf mahasiswa dan pihak pentadbiran tidak sepatutnya menjadikan MPP seperti pengawas sekolah!

Saya selaku mahasiswa yang ingin melihat mahasiswa 'bebas' kembali amat menghargai usaha Dato' Saifudin yang dilihat mendukung perjuangan mahasiswa Malaysia dan meletakkan dirinya di kancah perjuangan mahasiswa untuk memastikan mahasiswa terus bernafas walaupun terpaksa melawan arus massa.

Secara peribadi juga dengan optimis saya mengatakan bahawa seluruh mahasiswa Malaysia mendukung Dato' Saifudin Abdullah sebagai Menteri Pengajian Tinggi dan mendesak Perdana Menteri Malaysia melucutkan jawatan Khalid Nordin sebagai Menteri! Kami mahukan Menteri yang berjiwa rakyat dan bukannya Menteri yang menyusahkan rakyat!


read more...

Tuesday, January 19, 2010

Suara Mahasiswa Malaysia Dipersetankan !

















Saya bukanlah pengamal, penganut dan terlalu obses terhadap sistem demokrasi acuan barat, namun demokrasi yang sering dicanang-canangkan oleh barat adalah bertemakan hak-hak eksklusif rakyat seperti kebebasan bersuara, keadilan, hak asasi dan sebagainya yang terlebih dahulu diperjuangkan oleh ajaran Islam lebih 1400 tahun dahulu.Namun, Barat muncul dan memunculkan pula demokrasi mengikut versi mereka. Maka, dalam hal ini, kita sebagai Muslim yang bergerak dalam Harakah Islamiah hanya mengambil sedikit manfaat yang ada dari sistem ini dalam ruang lingkup yang mendatangkan maslahah dan manfaat untuk Islam dari hal-hal yang dibenarkan oleh Islam sahaja, bukan beriman kepadanya dan meyakini kebenarannya. Kaedahnya adalah, kita menghadapi musuh dengan senjata yang digunakan oleh musuh juga sebagaimana kata Saidina Ali, pedang dengan pedang…perbahasan mengenai demokrasi dan Islam telah dibahas panjang lebar dari puluhan sumber rujukan oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dalam bukunya ‘Islam dan Demokrasi’ (2007).


Namun apa yang ingin saya perjuangkan disini adalah mengenai ketulenan demokrasi mahasiswa di Malaysia. Apa yang ingin saya perkatakan disini mengenai demokrasi mahasiswa di Malaysia adalah sangat-sangat memalu dan mengaibkan ! Hak-hak ekslusif mahasiswa Malaysia sudah lama dicabul, dicantas, dibakul sampahkan dan dipersetankan ! Anda bayangkan suasana demokrasi di Malaysia ! Saudara Shazni Munir, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang juga merangkap Timb. Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan 50 teman-teman mahasiswa yang hanya berhimpun dan melaungkan sedikit slogan menuntut dihapuskan E-Undi dihadapan KPT, Putrajaya Jumaat baru-baru ini tanpa membawa senjata pun, tanpa merosakkan bangunan pun, tanpa menyekeh kepala Menteri Pengajian Tinggi pun, sampai di layan kasar oleh pihak polis! Anda tahu, di Indonesia, ahli Parlimen bertaraf Menteri pun dibaling kasut oleh mahasiswa. Mahasiswa Malaysia tidak begitu. Lalu, untuk apa sampai ditarik baju, ditolak dan dikasari sebegitu? Anda tahu bahawa mahasiswa itu bakal memimpin negara. Atau anda mahukan mahasiswa yang kelu, lesu, tidak bermaya dan tidak berani menyatakan pendirian mengganti pemerintahan negara nantinya?



Di Indonesia yang pada hemat saya merupakan sebuah negara yang menjadi kiblat terhadap wadah perjuangan mahasiswa Malaysia contohnya, rakyat negara mereka bebas dalam memperjuangkan pendirian mereka. Sebahagian rakyat Indonesia khasnya mahasiswa, mereka adalah golongan yang peka terhadap permasalahan negara. Peka, bukan PEKAK ! Mahasiswa sering memimpin rakyat ke tengah kota apabila ada hal yang menyangkut mengenai kepentingan rakyat terabai atau teraniaya. Semuanya bermula pada tahun 1998 apabila mahasiswa bangkit menjatuhkan regim Suharto yang berdefinisikan orde baru. Mahasiswa begitu lantang dengan 'Sumpah Mahasiswa' mereka pada ketika itu. Namun bayaran untuk menjatuhkan seorang diktator yang zalim ini perlu dibayar dengan beberapa aktivis mahasiswa yang ditembak oleh pihak polis dalam himpunan raksasa tersebut. Antara yang terkehadapan dalam memimpin massa adalah Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI). Mereka tahu bahawa pemerintah naik atas hasil suara (undi) mereka maka meluruskan pemerintah yang naik atas hasil suara mereka merupakan sebuah kewajipan.

Sejak isu Bank Century terbongkar, rasanya sudah hampir 100 kali mahasiswa berdemonstrasi di kampus masing-masing dan di kantor-kantor pemerintah di setiap daerah baik di kantor Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Jakarta di Makasar, Jogjakarta, Bali, Medan, Aceh dan sebagainya. Habis gambar Boediono dan Sri Mulyani dipijak dan dibakar. Pelbagai sepanduk mendesak kedua-dua individu ini meletak segera jawatan dibawa ke demonstrasi. Namun, sedikit pun tidak ditindas oleh pihak polisi melainkan kepada inidividu-individu yang bertindak agresif dan radikal dengan membawa senjata atau merosakkan bangunan DPR dengan lontaran batu dan sebagainya. Fungsi polis membantu melancarkan demonstrasi secara aman dan tertib. Bukan menggangu demonstrasi seperti di Malaysia yang akhirnya kekacauan berlaku yang berpunca daripada mereka.

Lalu, jika semua hal-hal ini ternyata gagal diterapkan dibumi Malaysia, apa yang boleh dibangga-banggakan dengan laungan " Malaysia Negara Demokrasi "? Jadi, mahu dibilang apa? Negara Islam pun tidak ! Negara Demokrasi pun tidak ! Negara kronisme atau Mongolia mungkin....?



Kini pilihanraya kampus KUIS sudah mula membuka tirainya. Adakah demokrasi pada pilihanraya kampus di KUIS ini nanti akan menonjolkan sistem demokrasi yang tulen dan bersih ? Tiada pengundi hantu, tiada kronisme, tiada bias-humanisme, tiada dan tiada segala macam kesahan racun demokrasi politik kampus di KUIS. Kita saksikan hari pembuangan undi dan pengumuman anggota Majlis Perwakilan Mahasiswa pada 26 Januari 2010 nanti.


Jika KUIS yang merupakan sebuah kolej universiti ISLAM yang mungkin akan dinaik taraf sebagai sebuah universiti pun masih kotor dan jijik sistem demokrasi kampusnya, khairi dan halim akan tunggu akibatnya ! Ingat, Mahasiswa mampu Menggugat !





read more...

Goncangan Mahasiswa - KUIS Bila lagi ?
















PILIHAN RAYA KAMPUS : PRO MAHASISWA KUASAI UMT – malaysiakini

Calon pro-Mahasiswa (Pro-M) menguasai kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam pilihan raya kampus universiti tersebut semalam.

Selepas keputusan diumumkankan, pro-M menang besar apabila merampas sebelas daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.

Kerusi yang dimenanginya ialah tiga daripada empat kerusi umum dan kesemua lapan kerusi fakulti yang dipertandingkan.

Calon pro-Aspirasi hanya berjaya mempertahankan satu umum sahaja.

Kini pro-M menguasai kerusi fakuti ago-teknologi dan sains makanan, fakulti pengurusan ekonomi, fakulti ekonomi dan sains marin, dan fakulti sains dan teknologi. Setiap fakulti mempertandingkan dua kerusi.

Menurut jurucakap pro-M memberitahu Malaysiakini, inilah adalah kali pertama pro-M menguasai kampus UMT selepas ia dinaik taraf sebagai universiti pada 2007.

nota :

gelombang mahasiswa mula terasa !!!
inilah dia kuasa anak muda mahasiswa !!!
pencak mahasiswa sudah dipalu !!!
mahasiswa KUIS bangunlah segera !!!
kini tibanya pula masa untuk kita 'berperang' !!!
buat mahasiswa KUIS, satu perubahan akan berlaku !!!

ISLAMISASI, IDEALISME & PERUBAHAN !!!

PRO-M IS ONE !!!










read more...

Wednesday, January 13, 2010

Seruan Buat Anak Muda Mahasiswa !
















FORUM :

Kritik Sosial - Peranan & Fungsi Anak Muda dalam Perkembangan Demokrasi di Malaysia.

TARIKH : SABTU 16/1/2010

WAKTU : 02.30 Petang

AHLI PANEL :Fahmy Reza ( Pengarah dokumentari 10 Tahun Sebelum Merdeka & Revolusi '48 ), Nor Azman Hashim, Hishamudin Rais ( blogger Tukar Tiub )

TEMPAT : Pejabat SUARAM, Skudai (Belakang Hotel Goodhope). Anjuran Solidariti Anak Muda - Johor

TARIKH SABTU : 16/1/2010

WAKTU : 7.30 malam

FORUM : Keluhuran Perlembagaan.

AHLI PANEL: Sdri. Ginie Lim, Che'gu Bard, Nor Azman Hashim, Hishamudin Rais ( blogger Tukar Tiub )

TEMPAT : Hotel Kelana, Skudai.

ANJURAN : AIC

nota:
Buat anak muda terutama mahasiswa yang inginkan revolusi,
datang la..

Buat bakal perobah massa & masa depan Malaysia,
datang la..

Buat pencinta Malaysia Baru,
datang la..

Buat seluruh anak muda mahasiswa yang sudah kepingin untuk merobah Malaysia yang bobrok,
datang la beramai-ramai !!

read more...