"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kuasa Kepimpinan Al-Fateh (IQ-EQ-SQ)

Saturday, September 25, 2010

5 UM : GMS Ucap Tahniah. Ayuh Gempur Lagi !

























Hari ini sejarah dunia gerakan mahasiswa tercipta sekali lagi apabila lima orang mahasiswa daripada Akademi Pengajian Islam (API) Universiti Malaya dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada kesemua tuduhan di dalam kes Rosmah 'bini puaka' kerana tiada prima facie di dalam kes tersebut.

Sebelum ini, lima orang mahasiswa daripada Universiti Malaya iaitu Shazni Munir Mohd Ithnin, Mohd Aizat Roslan, Mohd Saufi Jelani, Mohd Izzudin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli dituduh melakukan jenayah di bawah seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui oleh isteri Perdana Menteri; Rosmah Mansor dan menconteng di sebuah dewan Akademi Pengajian Islam (API) UM.

Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Semua itu gara-gara mahasiswa berkenaan dikaitkan dengan contengan perkataan-perkataan 'C4', 'Bini Puaka' dan 'pembunuh Altantuya' di dinding dewan sebelum kedatangan isteri Perdana Menteri;  Datin Seri Rosmah Mansor.

Sehubungan dengan itu, pihak Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi dan merakamkan jutaan tahniah di atas kemenangan berharga buat mahasiswa pada kali ini dan kemenangan ini juga dilihat mampu dijadikan salah satu batu loncatan untuk mengembalikan momentum mahasiswa yang sebelum ini dikecam oleh ramai pihak dengan mengatakan gerakan mahasiswa di Malaysia sudah mencapai tahap 'menopause'.

Kemenangan mahasiswa pada hari ini juga memperlihatkan bahawa institusi mahkamah masih mempunyai kredibiliti untuk mengadili golongan masyarakat sivil secara lebih telus terutamanya golongan mahasiswa dan GMS mengharapkan supaya institusi mahkamah terus meningkatkan lagi ketelusan dan kredibiliti mereka supaya tidak lagi dipengaruhi oleh mana-mana unsur politik yang mencemarkan kedudukan institusi mahkamah di negara ini.

Tuntas, kemenangan ini diharapkan bukanlah penyudah kepada segala-galanya. Gerakan mahasiswa harus terus memacu gelombang kebangkitan untuk memastikan eksistensi gerakan mahasiswa di Malaysia yang mapan dan menerajui kepimpinan anak muda bagi merobohkan segala tembok kebatilan di negara kita.

Cukuplah selama ini anak muda telah diperbodohkan melalui satu proses pembodohan yang zalim di negara kita. Kini anak muda mahasiswa perlu meletakkan tekad yang jitu dan mengerah segala potensi bagi meletakkan gerakan mahasiswa Malaysia pada tahap yang sepatutnya. Sekarang bukanlah masa untuk kita diperbodohkan lagi !

Episod perjuangan tidak berhenti di sini. Pada 28 September 2010, mahasiswa akan sekali lagi berdepan dengan suatu sistem yang zalim apabila empat mahasiswa jurusan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menjadi mangsa Seksyen 15(5) (a) Akta Universiti Kolej Universiti 1974 akan menghadapi satu lagi prosiding di Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta. 

Oleh itu, GMS menyeru seluruh teman-teman mahasiswa, para aktivis dan masyarakat untuk hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur pada 28 September 2010 ini, jam 2 petang untuk terus memberi sokongan yang jitu kepada rakan-rakan mahasiswa dari UKM yang terus menjadi mangsa kepada satu lagi sistem pembodohan di negara kita. 

Ayuh, kita kerah segala potensi yang ada bagi meneruskan kelansungan apresiasi momentum mahasiswa di negara kita. Usah kita terus memperhambakan diri kepada sistem-sistem sedia ada yang jelas zalim kepada masyarakat. Anak muda sebagai tonggak dan pemimpin generasi muda harus terus menghunjam segala paksi kebenaran dan menumbangkan segala kebatilan untuk ummah, bangsa dan negara !


Ahmad Shukri Kamarudin
Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS)


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "5 UM : GMS Ucap Tahniah. Ayuh Gempur Lagi !"

Post a Comment