"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kuasa Kepimpinan Al-Fateh (IQ-EQ-SQ)

Thursday, December 31, 2009

Signifikan Antara Tahun 2010, Gerakan Mahasiswa & Pilihanraya Kampus KUIS



















Alhamdulillah, kita panjatkan rasa syukur yang berpanjangan terhadap Tuhan Rabbul Jalil yang telah memberikan kita dengan nikmat Iman dan nikmat Islam. Selawat dan Salam buat Rasul junjungan yang telah mengerah kudrat dan keringat memperjuangkan Islam ini sehingga kita dilimpahi kurnia paling tuntas berharga. Untaian rasa kesyukuran dalam diri kerana diberikan oleh Allah SWT dengan kekuatan untuk menyatakan kebenaran dalam lingkungan masyarakat yang semakin berpaling kepada petunjuk. Salam perjuangan buat seluruh anak-anak muda mahasiswa yang berani berdada dengan kezaliman penguasa di seluruh belahan dunia.

Buat Mahasiswa,

Dalam rencah perjalanan kita menongkah arus cabaran massa,  sedar mahupun tidak kurang daripada 12 jam sahaja lagi kita akan menutup lipatan tahun 2009 dengan pelbagai rempah ratus peristiwa yang memahat benak  pemikiran anak-anak muda mahasiswa dan akan menjelmalah lembaran baru tahun 2010. Bermulanya tinta baru tahun 2010 maka akan bermulalah dasawarsa pelbagai jaluran pemikiran mahupun 'ideologi' mahasiswa dalam menitip butiran perjuangan mereka dengan pelbagai matlamat. Apa yang perlu dibuktikan oleh mahasiswa menjelang ritma 2010 ini ialah mahasiswa perlulah terus mengartikulasi kekuatan dan kelemahan gerakan mahasiswa supaya lipatan sejarah kesuraman serta kelesuan gerakan mahasiswa tidak terus memdekam mahasiswa dalam mimpi indah dalam ngeri ciptaan mereka sendiri.

Tahun 2010 ini haruslah dilihat oleh gerakan-gerakan mahasiswa sebagai 'catalayst'  untuk terus memahat rimbunan sejarah mendominasi fenomenal suasa aktivisme mahasiswa. Gerakan mahasiswa harus sedar bahawa keberadaan mereka di alam kampus bukanlah sekadar memanaskan peti minda dengan pelbagai bahan bacaan seiring dengan kemantapan thaqafah tetapi mereka perlulah mengekstrak diri dengan sebanyak mungkin tindakan yang mampu memecahkan tembok kebejatan mahasiswa dan kebobrokan pentadbiran kampus.












Buat Mahasiswa,

Jika kita menoleh kepada lipatan sejarah potret perjuangann mahasiswa sekitar tahun 2009, pelbagai rencam telah dipahatkan oleh pelbagai gerakan mahasiswa dalam perjalanan merobah zaman kemahasiswaan. Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor misalnya telah mengalami suatu tsunami politik kampus dengan kehadiran satu gerakan mahasiswa progresif dan berkebajikan iaitu Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) yang menggunakan jaluran desakan penurunan yuran sebagai matlamat utama perjuangan mereka. Matlamat yang bercorak merakyatkan perjuangan ini telah dilihat mampu mengubah landskap sosio-politik KUIS itu sendiri. Perjuangan yang dimulakan dengan perbahasan isu yuran yang membelenggu sebahagian besar mahasiswa KUIS melalui "sudut pidato' yang merupakan rempah ratus rasmi perjuangan mahasiswa sejak ia diwujudkan di Universiti Malaya pada 27 Mei 1966 hinggalah kepada demonstrasi aman mendesak pihak pentadbiran  agar menurunkan kadar yuran telah menjadikan GMS suatu fenomenal yang baru di kalangan warga kampus KUIS dan ia juga dilihat mampu mengancam kedudukan individu-individu tertentu di dalam rencah pengurusan mahupun pimpinan tertinggi mahasiswa (MPM).








Tahun 2009 juga melihatkan pelbagai pertikaian politik kampus dikalangan mahasiswa KUIS telah berlaku. Pelbagai andaian telah di tuntaskan oleh rakyat mahasiswa misalnya mengenai Pilihanraya Kampus KUIS (PRK). Jika kita menoleh kepada sejarah Pilihanraya Kampus yang lalu, pilihanraya telah mula dihangatkan pada derapan bulan Disember 2008, bermula dengan pembubaran Majlis Perwakilan Mahasiswa, kemudian berlansungnya Pilihanraya Kampus pada awal Januari 2008 dan ia telah dilihat sebagai Pilihanraya Kampus yang terlewat dalam dekaman sejarah sejak KUIS ditubuhkan. Namun, kini tahun 2009 akan melabuhkan tirainya dan tahun 2010 akan memasakkan tiangnya, tarikh sebenar akan berlansungnya Pilihanraya Kampus  dan pembubaran MPM masih diperam oleh pihak pentadbiran KUIS (JPM) dan mungkin juga oleh pimpinan tertinggi mahasiswa yang masih berkuasa dan gilakan kuasa ketika ini.

 Persoalannya kini ialah mengapa proses Pilihanraya Kampus telah dilewatkan daripada tarikh yang sepatutnya? Adakah pihak pentadbiran masih mencari 'sosok tubuh' yang boleh dianjing kurapkan oleh mereka untuk menjadi calon pada Pilihanraya Kampus KUIS akan datang? Ataupun pihak pimpinan tertinggi mahasiswa KUIS masih dalam kerangka kerja untuk mempromosikan calon mereka untuk Pilihanraya Kampus akan datang bagi meneruskan delegasi kepimpinan yang bobrok dan ketandusan idea? Mengapakah program besar MPM (program Arena Kampus) masih mahu dilaksanakan dalam masa terdekat ini sewaktu rakyat kampus yang lain sedang mencongak tarikh sebenar pembubaran MPM dan Pilihanraya Kampus? Mungkinkah program tersebut dijadikan alat untuk mendoktrin segenap rakyat  KUIS dengan mengenengahkan calon-calon Pilihanraya Kampus yang pro kepada MPM dan JPM?

Oh 2010! Mungkinkah segala persoalan akan terjawab oleh sang nombor 2010? Ataupun gerakan mahasiswa perlu memerah keringat dan idea sekali lagi untuk menjawab segala persoalan? Begitulah signifikannya tahun  2010, gerakan mahasiswa dan masyarakat KUIS.











Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Signifikan Antara Tahun 2010, Gerakan Mahasiswa & Pilihanraya Kampus KUIS"

Post a Comment