"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kuasa Kepimpinan Al-Fateh (IQ-EQ-SQ)

Saturday, November 28, 2009

Gerakan Mahasiswa Islam Menggugat - Siri 2
















"Semanis Bicara Menyulam Madah" 



“Bagi kita, zaman tolak ansur sudah mati! Sudah kita kuburkan bersama-sama keranda jingga yang berbalut dengan segala janji dan kepalsuan manusia” 
- Nordin Razak - 


Mahasiswa merupakan pewaris kepimpinan negara dan masyarakat. Sejarah membuktikan keperkasaan, keaktifan dan sifat progresif gerakan mahasiswa telah membuahkan hasil yang cukup lumayan bagi sesebuah negara pada masa depan. Mahasiswa dilihat pendokong utama ke arah reformasi masyarakat melalui revolusi dan secara evolusi melalui penyertaan dalam pentadbiran negara. Sebagai anak muda yang mempunyai sifat kreatif, jiwa memberontak dan bersifat tergesa-gesa akan membentuk keperibadian mahasiswa yang menongkah arus dan mempunyai keinginan yang tinggi untuk mengubah sistem yang bobrak dan korup. Mahasiswa merobah massa. Itulah mitos mahasiswa dalam perjuangan mereka dan khayalan ini akan disedarkan selepas mereka keluar dari alam kampus.

Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) bukanlah wadah pinggiran dalam perjuangan sosial, politik dan dakwah seantero dunia. Di Afghanistan, mahasiswa Islam telah menewaskan golongan Sosialis dalam pilihanraya kampus dan mempelopori penubuhan pasukan pejuang mujahidin melawan Rusia. Ketua Ikhwanul Muslimin Afghanistan, Ahmad Niazi dan mahasiswa Islam Universiti Kabul mula mengerakkan kelompok pelajar Islam yang dikenali Juanan Muslim (kemudian dikenali Jamiyyah al Islamiyyah) pada tahun 1969. Pada tahun 1972, kelompok pelajar Islam berjaya menguasai kerusi di Dewan Mahasiswa Universiti Kabul dan ia telah menakutkan pendokong Komunis dan Sosialis di Afghanistan. Pada tahun 1975, Mohamad Daud mempenjarakan Ahmad Niazi dan tindakan kejam rejim ini menyebabkan ramai pemimpin pelajar termasuk Rabbani dan dan Sayyaf melarikan diri ke Pakistan. Di Mesir pula, mahasiswa Ikhwanul Muslimin telah berjaya mengalahkan golongan nasionalis di Universiti Fuad I.

Di Malaysia, kebangkitan mahasiswa Islamis berputik dan menguntum pada awal tahun 1970an tetapi mula mengancam survival politik golongan nasionalis pada awal 1980an. Bermula awal tahun 1990an, GMI mula mendominasi politik kampus di hampir setiap universiti di Malaysia. Walaupun disekat dengan pelbagai formula, GMI di Malaysia terus meredah ranjau perjuangan semampu yang terdaya. Di sini, penulis menukilkan sejarah awal perjuangan mahasiswa Islamis di kampus untuk memasyarakatkan masyarakat kampus dengan suluhan Islam. Penulis juga akan sedaya upaya memaparkan pengolakkan antara proksi GMI dan kebangkitan dinasti kepimpinan ulama dalam politik kampus melalui secebis risalah GMI Menggugat ini.

SEJARAH PENUBUHAN GERAKAN MAHASISWA ISLAM.



Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) diwujudkan pada pertengahan tahun 1950an hasil inisiatif Syed Muhamad Naquib al Attas, seorang pelajar Islam di Universiti Malaya, Singapura. Walau bagaimanapun, peranan PMIUM mula menonjol dan rancak apabila Universti Malaya berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur. Pada tahun 1960, PMIUM di bawah pimpinan Hussein Ahmad berjaya mendapat tanah untuk Masjid Ar-Rahman yang telah dibina pada tahun 1963. Pada tahun 1962, PMIUM bergabung di bawah PKPIM dengan menubuhkan Badan al Rahmaniah atau Badan Dakwah dan Kebajikan Islam SeMalaysia. Sebelum terlaksananya AUKU, PMIUM adalah badan pelajar berautonomi dan tidak bernaung dibawah PMUM. Justeru, ia bergerak bebas tanpa terikat dengan dasar PMUM yang dikuasai oleh mahasiswa sosialis.


Pada tahun 1964, Syed Naquib pulang ke Tanah Air dan menjadi pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu. Kepulangan Syed Naquib merancakkan lagi kegiatan PMIUM apabila beliau cuba menyerap idea ‘faham Islam’ ke dalam pemikiran pelajar. Beliau telah berjaya menangkis hujah yang dikemukakan oleh golongan Sosialis dan Nasionalis dalam beberapa perdebatan ilmiah. Syed Naquib semasa menjadi pensyarah di UM dilihat sebagai mentor kepada pelajar Islamis dimana setelah kuliah ramai pelajar Islamis berkumpul di pejabat atau rumah beliau. Beliau juga merupakan antara tokoh utama mempengaruhi ABIM-PKPIM dan tokoh lagenda gerakan mahasiswa-belia, Anwar Ibrahim. PMIUM cuba melahirkan mahasiswa yang memahami al Quran dan Sunnah yang melaksanakan prinsip Islam dan menyatukan persaudaraan Islam. Pejuangan PMIUM tersebar melalui makalah seperti Suara PMIUM dan Jurnal Sejahtera.

PMIUM adalah pertubuhan pelajar pertama beraliran Islamis di negara ini yang ditubuhkan dengan kaedah yang teratur dan diakui mewakili masyarakat pelajar Islam di kampus terulung negara, Universiti Malaya. Pada 27 Jun 1961, ditubuhkan pula Persekutuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu dan ditukar kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam (PKPIM) pada tahun 1963. Sebelum terjelmanya AUKU, PKPIM memayungi persatuan-persatuan pelajar Islam di setiap institusi pendidikan tetapi peranan ini mula terhakis selepas AUKU 1975 mewajibkan persatuan berbentuk gabungan nasional dan dianggotai persatuan mahasiswa universiti tempatan perlu dibubarkan. Semua persatuan mahasiswa perlu berada dibawah kawalan universiti yang dikenali sebagai Hal Ehwal Pelajar [HEP] dan dikenali sebagai Jabatan Pembangunan Mahasiswa [JPM] di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). PKPIM bernasib baik diberi peluang untuk bernafas berbanding rakan-rakan gabungan peringkat nasional seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia [PKPM, ditubuh pada 15 Mac 1958] dan Persatuan Pelajar Asia (ASA) yang telah dimansuh. Aspirasi PKPIM dilanjutkan ke luar kampus dengan penubuhan ABIM pada Muktamar PKPIM ke 10 pada tahun 1971.


 -Islam Memerintah, Bukan Islam Diperintah.-


bersambung pada bab seterusnya....



Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

1 comments: on "Gerakan Mahasiswa Islam Menggugat - Siri 2"

Perubah Zaman said...

Tahniah! Teruskan menulis & beraktivisme dengan ruang lingkup fikrah yang asli & mampu menerjah kebatilan!

Post a Comment